Unai Emery mencabar Granit Xhaka untuk mengubah semula pandangan peminat Arsenal terhadapnya selepas dinamakan selaku kapten pasukan.

Pemain tengah Switzerland itu dinamakan sebagai kapten semalam sambil Pierre-Emerick Aubameyang selaku timbalan dan Hector Bellerin, Alexandre Lacazette serta Mesut Ozil sebagai pembantu.

Xhaka yang memasuki usia 27 tahun semalam, diberikan lilitan ketua pasukan tetapi menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat tatkala dia diejek sewaktu digantikan dalam kemenangan 3-2 ke atas Aston Villa, minggu lalu.

Namun, pengendali The Gunners, Emery, yang membuat keputusan selepas undian dalam kalangan pemain, mempertahankan kewibawaan Xhaka dan mahu dia memenangi semula hati peminat.

"Saya memberi mereka sedikit nilai, kualiti yang menentukan kapten dan saya gunakan undian kerana tahu ia hadir daripada pendapat.

"Kemudian, saya semak dan buat keputusan," katanya tatkala kewibawaan ketua dalam Arsenal terkesan susulan penghijrahan Laurent Koscielny, Petr Cech, Aaron Ramsey dan Nacho Monreal.

"Pertama, Xhaka matang dan berpengalaman. Kami berada dalam waktu di mana tekanan dirasai sebagai pemain dan kelab. Namun, apa yang penting adalah berdiri bersama sepanjang masa dan teruskan kemaraan berbekalkan kualiti, perwatakan dan komitmen.

"Di dalam bilik persalinan, pemain mengundinya sebagai ketua pertama. Saya tahu, bercakap dengannya dan mahu mengubah pendapat di luar. Rasa hormat yang dimiliki dalam diri sangat penting.

"Di luar juga perlu tunjukkan. Terus mara, bermain, tingkatkan prestasi, perwatakan dan komitmen. Setiap perlawanan adalah untuk dia, kami dan semua untuk dijadikan peluang membuktikan kemampuan.

"Saya sangat percaya dengannya. Dia seorang individu yang bagus, seorang profesional.

"Kadangkala dia lakukan kesilapan tetapi apa yang penting adalah kenal pasti masalah itu, belajar dan perbaikinya.

"Cabaran kami adalah mengubah pendapat itu, kemudian datang dengan personaliti dan tingkatkannya dalam setiap perlawanan.

"Peluang pertamanya adalah aksi berdepan Manchester United di Old Trafford, awal pagi Isnin ini."