Emerson Palmieri melengkapkan perpindahan secara pinjaman semusim daripada Chelsea kepada Lyon.

Pertahanan sayap Itali itu menjejakkan kaki ke Stamford Bridge daripada AS Roma pada Januari 2018 dan telah melakukan 71 penampilan keseluruhan buat The Blues.

Bagaimanapun, peluangnya untuk menyerlah terbatas, di mana selain membantu Chelsea memenangi Liga Europa musim 2018-19, dia hanya beraksi sebanyak 33 kali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama kelab itu.

Selepas memenangi Euro 2020 bersama Itali bulan lalu, Emerson kini akan menantikan cabaran baru dalam Ligue 1 musim ini.

Lyon mengesahkan dalam laman web rasmi mereka bahawa yuran pendahuluan bernilai €500,000 (RM2.4 juta) telah dibayar dengan potensi bayaran bonus sebanyak €500,000 lagi selain pilihan bagi pembelian secara tetap.