Penyerang Switzerland, Breel Embolo, ingin mengakhiri minggu ini dengan satu lagi kejayaan cemerlang, menempah aksi suku akhir Piala Dunia 2018 ketika menghadapi Sweden di St Petersburg, malam esok.

Embolo terlepas aksi terakhir Kumpulan E ketika Switzerland seri 2-2 dengan Costa Rica di Nizhny Novgorod susulan menyambut kelahiran anak perempuannya, lewat Khamis lalu.

"Ini adalah detik yang sempurna," kata pemain muda Schalke itu kepada pemberita. "Saya terus berkejar ke hospital dari lapangan terbang dan tiba tepat pada waktunya.

"Saya gembira. Kelahiran Naliya merupakan hadiah terbaik yang pernah dialami dalam hidup saya.

"Sekarang, saya harap saya tidak perlu terbang ke Switzerland lagi dalam masa terdekat. Kami masih mahu mencapai sesuatu di Russia," tambahnya.

Embolo belum menemui sentuhan jaringan dalam dua penampilan dan belum memulakan permainan di Russia, namun boleh menawarkan alternatif buat ketua jurulatih, Vladimir Petkovic, susulan kegagalan Haris Seferovic dan Mario Gavranovic mempamerkan persembahan mengagumkan sementara Josip Drmic pula telah menyumbangkan gol dalam pertemuan dengan Costa Rica.

"Sweden sebuah pasukan mantap," kata pemain berusia 21 tahun itu. "Bagaimanapun, kami akan bersedia dengan baik, kami akan bermati-matian demi ke suku akhir.

"Dua tahun lalu, kami tewas kepada Poland dalam pusingan 16 Euro 2016. Kami belajar dari situ. Dua kali terpaksa bangkit di Russia membuktikan bahawa kami sudah bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar lagi."

Sweden kehilangan Sebastian Larsson akibat penggantungan. Ini bermakna Gustav Svensson mungkin disenaraikan untuk menampung posisinya sementara Switzerland akan turun tanpa Lichtsteiner dan Fabian Schar berikutan hukuman serupa.

Dalam permainan yang tidak semestinya menjanjikan nilai hiburan di peringkat kalah mati, jurulatih Sweden, Janne Andersson, menjangkakan penggempurnya akan mengetuai corak bertahan pasukannya.

"Asasnya, setiap pemain di atas padang merupakan pertahanan," katanya dalam sidang akhbar.

"Itulah kerja keras yang dimainkan Marcus Berg dan Ola Toivonen.

"Kemudian, kami saling bergandingan di antara satu sama yang lain tanpa mengira kedudukan lawan. Kami tidak terburu-buru untuk menghambat lawan kami."

PEMAIN TUMPUAN

Sweden: Emil Forsberg


Pencapaian terbaik Sweden selepas persaraan Zlatan Ibrahimovic. Perancang tengah berpengalaman RB Leipzig, Forsberg, belum menzahirkan permainan terbaiknya dalam Piala Dunia. Ini masa yang tepat untuknya membuktikan kemampuannya.

Switzerland: Xherdan Shaqiri

Jaringan lewat dalam kemenangan penuh emosi ke atas Serbia di peringkat kumpulan antara detik terbaik dalam temasya Russia 2018 setakat ini. Seorang pemain yang cukup lincah pada hari terbaiknya, Shaqiri mungkin kunci kepada Switzerland dalam perlawanan penting.