Pemain tengah Arsenal, Mohamed Elneny, percaya kemenangan Perisai Komuniti ke atas Chelsea akan dijadikan sebagai batu loncatan buat The Gunners menghadapi musim baru.

The Gunners menyambar kejuaraan pertama musim 2017-18 dengan menewaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley selepas meraih kemenangan Piala FA ke atas lawan yang sama.

Elneny mempamerkan salah satu persembahan terbaik buat Arsenal apabila berjaya membantu pasukan mengikat kedudukan daripada ketinggalan selepas Victor Moses menjaringkan gol pada awal babak kedua perlawanan.

Pemain kebangsaan Mesir itu menerangkan motivasi pasukan kini berada di tahap tertinggi bagi menghadapi saingan 2017-18.

"Kami telah menerima satu lonjakan motivasi selepas berjaya menewaskan juara bertahan EPL, Chelsea, terutama sekali seminggu sebelum saingan liga bermula," katanya.

"Pemain-pemain tidak sabar menantikan saingan untuk bermula dan momentum kemenangan ini diharap akan berterusan."

Pengurus pasukan, Arsene Wenger, bersetuju dengan penilaian pemain tengah itu tetapi menegaskan bahawa The Gunners perlu mengekalkan tahap terbaik mereka untuk melakar keputusan positif.

"Kami mahu mencari keseimbangan dalam setiap perlawanan yang bakal kami hadapi selepas ini," kata Wenger.

"Arsenal akan bersaing dalam EPL dengan disiplin, semangat yang sama dan melihat sejauh mana kebolehan kami nanti."