Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, akan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama pasukannya menjelang aksi Liga Super berdepan Kelantan di Stadium Shah Alam, esok.

Elavarasan optimis pemainnya akan bangkit selepas tumpas 0-1 di tangan Felda United dalam perlawanan sulung Liga Super, minggu lalu.

Tumpuan pengendali itu adalah untuk menguatkan benteng pertahanan di mana Amirizdwan Taj Tajuddin dan Azmi Muslim dijangka berada dalam kesebelasan pasukan.

"Kombinasi itu yang perlu kami tingkatkan tetapi saya rasa dalam dua, tiga perlawanan selepas ini akan ada persefahaman. Saya akan ubah sedikit corak kami bertahan," katanya.

Elavarasan masih menaruh kepercayaan terhadap gandingan Patrick Ronaldinho Wleh dan Safee Sali di bahagian serangan dan yakin kedua-dua pemain itu mampu menjelmakan kombinasi lebih baik bedepan Kelantan, esok.

Dalam pada itu, Elavarasan tetap berwaspada dengan kekuatan Kelantan walaupun lawan tidak beraksi pada minggu lalu selepas pertemuan menentang Melaka ditangguhkan gara-gara faktor cuaca.

"Saya rasa Kelantan adalah satu pasukan yang bagus sebab kebanyakan pemain sudah bermain di dalam pasukan itu untuk tempoh dua atau tiga tahun.

"Walaupun ada isu-isu kecil tetapi dari dulu kami bermain dengan Kelantan, mereka menunjukkan prestasi yang mantap," tambahnya.