Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, mahu memastikan pasukannya bersedia bermain dengan dua formasi berbeza dalam kunjungan untuk bertemu Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu ini,

Menurutnya, ia sebagai langkah persediaan untuk beraksi tanpa penampilan pemain import baru, Lucas Espindola.

Malah, katanya, PKNS perlu bersedia memberi aksi terbaik, sama ada turun beraksi dengan tiga atau empat awang import.

Jelas Elavarasan, Espindola masih belum mendapat sijil perpindahan antarabangsa dari bekas kelabnya di Argentina, Atletico Old Boys.

Latihan sepanjang minggu ini menyaksikan Elavarasan menggunakan formasi 4-2-3-1 dan 4-4-2.

"Apabila mempunyai pemain import yang mencukupi, pemain perlu tahu corak permainan yang diperlukan, begitu juga jika tanpa kehadiran pemain import.

"Saya aturkan semua ini pun agar pemain faham dan sekurang-kurangnya, kami ada formasi yang berbeza," katanya.

Dalam pada itu, Elavarasan optimis kebangkitan PKNS untuk berdepan Selangor selepas dua aksi awal Liga Super berdepan Felda United dan Kelantan berakhir dengan kekalahan.

Keyakinannya adalah berlandaskan keserasian pemain yang bertambah baik ketika latihan serta keinginan menoktahkan rentetan kekalahan.

"Banyak kesilapan dilakukan pemain dalam dua perlawanan awal," katanya. "Banyak kelemahan dalam pasukan kami ketika ini, kami sedang fokus untuk mengatasi kelemahan di bahagian tertentu.

"Saya percaya dalam perlawanan minggu ini, permainan kami akan lebih fokus dan teratur."