Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, mempertikaikan tahap profesional pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, yang mengeluarkan kenyataan menjurus kepada imej buruk Semut Merah.

Ekoran kenyataan Cheng Hoe dan pemain pertahanan Kedah, Ken Ilso, selepas aksi Liga Super pada 8 April lalu, PKNS kini dilabel sebagai pasukan ganas.

Gelaran baru itu nyata tidak disenangi Elavarasan yang menganggap Cheng Hoe dan Ilso sengaja memburukkan imej PKNS sedangkan aksi 90 minit di Stadium Darulaman diadili pengadil bertauliah.

"Saya fikir, Tan Cheng Hoe perlu faham kerana untuk menyalahkan seseorang itu, ia tidak bagus.

"Bola sepak dimainkan oleh 11 pemain dan anda tidak boleh hanya menyalahkan seorang pemain sahaja.

"Dia bukan pengadil, keputusan pengadil perlu dipatuhi. Dia tidak boleh memberitahu pengadil supaya mengawasi mana-mana pemain.

"Siapa dia? Dia hanya seorang jurulatih," ujar Elavarasan.

Gelaran itu berlarutan sehingga ke perlawanan terbaru, iaitu ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), baru-baru ini.

Tegas Elavarasan, penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh, akan terus menjadi senjata utamanya dan semestinya kudrat pemain itu akan dikerah sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Melaka United, minggu depan.

Ronaldinho tidak berada dalam kesebelasan utama ketika bertemu Harimau Selatan ekoran penggantungan perlawanan.

"Keinginan pemain untuk beraksi dan mencapai kemenangan amat penting selain mereka cuba memberikan aksi terbaik.

"Apapun, pemain kena berikan yang terbaik dan selebihnya, kita perlu terima keputusan akhir.

"Kalau aksi tidak bagus, kami perlu kaji apa yang boleh diperbaiki.

"Kalau beraksi bagus pula, kami perlu konsisten."