Tiada isu dan pembayaran sudah dibuat, itu reaksi jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang sudah menerima elaun bulanan mereka semalam.

Dalam pada itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengikut jejak langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi pemotongan gaji kakitangannya di antara 10 hingga 20 peratus.

"Semua isu elaun sudah selesai semalam. Kalau ada yang belum diterima mungkin disebabkan kesilapan teknikal seperti nombor akaun.

"Jadi saya berasakan ia akan diselesaikan minggu depan ," kata ketua jurulatih remaja negeri Melaka, Rashid Mahmud kepada wakil Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, hari ini.

Turut menyuarakan perkara yang sama ialah jurulatih separuh masa PLD Kuala Pilah, Fairuredza Kassim: "Belum pernah ada kelewatan (elaun) dan masalah-masalah yang sepatutnya.

"Selama kami ini elaun kami dijaga.

"Sebagai jurulatih, semangat kami cenderung kepada untuk melatih, kami tidak bercakap banyak tentang soal duit."

Ketua jurulatih Pusat Hulu Langat, Abdul Malik Abu Samah, juga tidak mahu memanjangkan isu tersebut dan menganggap wabak novel koronavirus (Covid-19) sebagai punca salah faham.

"Masalah ini tercetus bersebab, kita perlu faham berikutan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala semua badan-badan kerajaan ditutup.

"Jadi kelewatan ini bukan satu masalah," katanya.