"Jangan beri tekanan kepada Tan Cheng Hoe."

Bekas jurulatih negara, B. Sathianathan, menyuarakan pendapat berbeza mengenai kewajaran petunjuk prestasi utama (KPI) untuk pengendali Harimau Malaya, Cheng Hoe, yang bakal dilanjutkan kontrak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, semalam berpandangan FAM wajar meletakkan KPI yang lebih tinggi kepada Cheng Hoe, iaitu layak ke Piala Asia 2023 dan memperbaiki ranking negara seiring dengan peta hala tuju badan induk itu, F:30.

Ini juga berpandukan bahawa Cheng Hoe sudah membuktikan kemampuannya di peringkat Asia Tenggara menerusi kemaraan skuad Harimau Malaya ke pentas final Piala AFF 2018.

Namun, bagi Sathianathan, Cheng Hoe masih perlu diberikan ruang dan masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi untuk memastikan bola sepak negara berada di aras yang berbeza.

"Jangan terburu-buru.

"Saya cuma minta pasukan kebangsaan agar konsisten dalam mencapai keputusan memberangsangkan, itu sahaja.

"Mustahillah untuk menyasarkan pasukan kebangsaan naik ke ranking ke-90 secara mendadak.

"Ini petanda yang baik tetapi usahlah beri tekanan kepada jurulatih kerana bukan mudah untuk melaksanakan tugas di bawah tekanan," kata jurulatih Selangor itu.

Nasib Cheng Hoe akan diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang akan bermesyuarat pada Selasa ini selepas kontrak jurulatih berusia 51 tahun itu berakhir, Isnin lalu.

Bekas jurulatih Kedah itu, bagaimanapun, dijangka kekal membimbing skuad negara dengan berdepan tugasan lebih mencabar tahun ini, iaitu Pestabola Merdeka dan kelayakan Piala Dunia 2022 merangkap kelayakan Piala Asia 2023.

"Banyak faktor yang terlibat. Contohnya kita tidak boleh terburu-buru untuk meletakkan sasaran yang tinggi dalam Pestabola Merdeka.

"Ini kerana ketika ini, masih ada pemain yang baru dan belum lagi turun berlatih sejak berakhirnya kempen Kejohanan Piala AFF 2018.

"Dengan Pestabola Merdeka akan berlangsung pada Mac nanti, para pemain hanya akan mencapai 80 peratus tahap terbaik mereka," katanya lagi.