MALI 0 MESIR 0

Penjaga gol Mesir, Essam El-Hadary, muncul pemain tertua dalam sejarah Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila dia membuat penampilan dalam perlawanan Kumpulan D menentang Mali, awal pagi tadi.

Pemenang kejohanan sebanyak empat kali itu masuk sebagai pemain gantian, selepas penjaga gol pilihan utama, Ahmed El-Shenawy, tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan tulang selangka -- untuk memenangi penampilan ke-148 pada usia 44 tahun dan dua hari.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengucapkan tahniah kepada El-Hadary yang kini mewakili pasukan Liga Perdana Mesir, Wadi Degla.

El-Hadary memenangi gelaran pertama Afrika pada 1998 apabila diumumkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan dan gelaran keduanya menyusul pada 2006 dalam kejayaan di tempat sendiri serta mempertahankan mahkota kejuaraan mereka pada 2008 dan 2010.

Dia lebih tua daripada penjaga gol Colombia, Faryd Mondragon, yang menjadi pemain tertua dalam sejarah Piala Dunia dengan membuat kemunculan pada usia 43 tahun dan tiga hari ketika meraih kemenangan 4-1 ke atas Jepun dalam edisi 2014 di Brazil.

Sejak meraih gelaran pada 2010, Mesir gagal melayakkan diri dan sekalipun bintang utama mereka, Mohamed Salah, gagal menyerlah, ketua jurulatih, Hector Cuper, tetap berpuas hati untuk mengutip satu mata berikutan kemenangan Ghana ke atas Uganda.

Lassana Coulibaly hampir memberikan Mali peluang untuk mendahului pada minit ke-63, bagaimanapun tandukannya itu ditepis oleh El-Shenawy sehingga menyebabkan kecederaannya.

El-Hadary kental mempertahankan pintu golnya apabila dia sempat menggagalkan tandukan Ousmane Coulibaly sebelum sekali lagi bertindak menyelamatkan gawangnya lima minit sebelum permainan berakhir apabila meluru keluar dari kawasan golnya untuk mematahkan percubaan Moussa Marega.