Luis Suarez percaya Barcelona mempamerkan potensi sebenar ketika membelasah Real Madrid 5-1 tanpa bantuan Lionel Messi dalam aksi 'El Clasico'.

Barca cukup garang di Camp Nou yang menyaksikan Suarez mencetak hatrik selain Philippe Coutinho dan Arturo Vidal yang turut melakar nama sebagai penjaring sehingga meletakkan pengendali Madrid, Julen Lopetegui, di ambang pemecatan.

Keputusan pada awal pagi tadi amat mengagumkan memandangkan ketiadaan Messi akibat lengan patah, namun Suarez menagih pujian daripada ketua pasukan Barca itu atas persembahan memukaunya.

"(Messi) merupakan pemain terbaik dunia, malah lebih daripada itu," kata Suarez. "Tetapi, apa yang kami pamerkan membuktikan kemampuan kami, kami berdiri teguh di belakang pengurus dan kami mencintai kelab ini."

Madrid sempat memberi ancaman apabila Marcelo menjaringkan gol pada awal babak kedua, Suarez bagaimanapun gembira dapat memanfaatkan ruang tatkala barisan pelawat mula menggempur kubu mereka.

"Mereka meninggalkan posisi kerana ingin bangkit dalam perlawanan ini," katanya. "Mereka mengubah kedudukan kepada 2-1, mereka mencipta beberapa peluang.

"Kami fikir secara umumnya, kami bermain sangat baik dan dapat bertindak balas. Madrid meninggalkan banyak ruang dan kami tahu kami boleh memanfaatkannya."

Begitupun, Suarez belum mahu mengetepikan cabaran Madrid dengan menambah: "Setiap pemain dan pasukan akan menempuhi detik yang tidak baik dan prestasi yang buruk.

"Anda perlu terus berusaha dan bersatu sebagai sebuah pasukan. Ini adalah situasi yang anda boleh fahami, semuanya boleh berlaku terhadap semua orang."