Pengurus Barcelona, Ronald Koeman, mengakui betapa pentingnya pertembungan dengan Real Madrid, malam ini, tetapi menegaskan bahawa dia tidak berasa di bawah sebarang tekanan berganda untuk memenangi perlawanan itu.

Barca menuju perlawanan 'El Clasico' pertama musim ini selepas kemenangan ke atas Valencia dan Dynamo Kiev dalam LaLiga dan Liga Juara-Juara.

Buat julung kalinya musim ini pasukan Catalan itu memenangi perlawanan berturut-turut dan ia telah mengurangkan beban Koeman yang mendapat sokongan umum daripada Presiden Barca, Joan Laporta.

Begitupun, skuad kendaliannya terpaksa membayar mahal terhadap permulaan perlahan dalam kempen ini apabila sekadar menduduki di tangga ketujuh, dua mata di belakang Madrid dan lima mata ketinggalan dengan pendahulu, Real Sociedad, dengan satu perlawanan di dalam tangan.

Pengurus Belanda itu bukanlah asing untuk menghadapi pertemuan paling terkenal dalam bola sepak itu selepas menikmati tugas yang sangat berjaya di Barca sebagai pemain, lantas menyedari betapa getirnya pertembungan ini.

"Saya tidak lagi tertekan. Sebagai pengurus Barca, saya tahu kepentingan yang akan datang," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan semalam.







"Saya pernah kalah dan memenangi Clasico sebagai pemain. Cuma kali ini adalah yang pertama saya sebagai pengurus dengan kehadiran penonton, sekali gus menjadikannya berbeza. Saya berharap dapat mengungguli perlawanan ini.

"Kemenangan ini penting kerana ia akan membantu kami untuk terus membina keyakinan atas segala perubahan yang dibuat selain kemunculan pemain muda.

"Kami bekerjasama untuk memperbaiki diri di lapangan. Saya tidak berasa ini adalah ujian buat kami, tetapi ini adalah Clasico dan kami harus membuktikan keupayaan."