Adrien Rabiot tidak ditawarkan kontrak baru oleh Paris Saint-Germain (PSG), jelas ibu merangkap ejen pemain antarabangsa Perancis itu.

Kontrak Rabiot dengan PSG berakhir hujung minggu ini dengan pemain tengah itu bakal menjadi ejen bebas setelah menghabiskan tujuh musim bersama kelab Ligue 1 itu.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak diturunkan sejak Disember lalu berikutan perbalahan dengan PSG berhubung keengganannya menandatangani kontrak baru.

Kelab Serie A, Juventus, dikhabarkan mengetuai usaha untuk menandatangani Rabiot tetapi laporan Rabu lalu mencadangkan pengarah sukan yang baru, Leonardo, sempat menawarkan kontrak baru yang kemudian ditolaknya.

Bagaimanapun, ibu Rabiot, Veronique, tampil menafikan laporan berkenaan sambil mendesak anaknya supaya meninggalkan Paris.

"Saya mahu mengeluarkan satu kenyataan penafian rasmi," katanya kepada penyiar, RTL.

"Saya terbaca laporan yang mengatakan Adrien tidak muncul untuk mengadakan pertemuan dengan Leonardo atau dia menolak kontrak lanjutan.

"Ia satu berita palsu. Tiada perbincangan di antara Leonardo dan saya. Saya sempat bercakap dengannya di telefon sejak dia kembali dan kami mengucapkan selamat tinggal dengan sopan.

"Tiada tawaran dilakukan sebelum ini, sekarang mahupun selanjutnya. Kami tidak akan berganjak."

Pengarah Sukan Juve, Fabio Paratici, mengesahkan minat mereka terhadap Rabiot dalam sidang akhbar memperkenalkan Maurizio Sarri, minggu lalu.

Begitupun, Veronique tidak menawarkan sebarang perincian mengenai potensi perpindahan anaknya ke Itali selain turut dikaitkan dengan Manchester United.

"Anda semua pun tahu, bola sepak sangat misteri," tambahnya.

"Lebih baik kami tidak bercakap banyak ketika belum ada apa-apa yang muktamad lagi."