Ejen Thiago Silva mendedahkan Paris Saint-Germain (PSG) cuba membuat tawaran lewat bagi mengekalkan ketua pasukan mereka itu, tetapi hatinya sudah memutuskan untuk menandatangani kontrak dengan Chelsea.

Pertahanan tengah dari Brazil itu menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan secara percuma semalam selepas kontraknya di PSG berakhir.

Pemain berusia 35 tahun itu, yang mula mengukir nama di Milan pada 2012, mengesahkan bahawa dia telah beraksi dalam permainan terakhirnya bersama pasukan kendalian Thomas Tuchel tersebut sejurus tewas kepada Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL), Isnin lalu.

Wakil Silva, Paulo Tonietto, mendedahkan, Pengarah Sukan juara Ligue 1 itu, Leonardo, telah membuat tawaran pada saat akhir untuk mengekalkannya di ibu kota Perancis berkenaan.

Tonietto berkata adalah satu tindakan yang "memalukan" bagi Silva jika kekal bersama PSG selepas Leonardo memberitahunya bahawa dia tidak mempunyai masa depan di kelab itu, dua bulan lalu.

Happy to announce my arrival at this iconic club! @chelseafc , I’m coming! ?? #OhhThiagoSilva #CFC #Chelsea #ThiagoSilva #ChelseaFC #London #LondonCalling #Londres #UnitedKingdom #England

A post shared by Thiago Silva (@thiagosilva) on



Menurutnya kepada L'Equipe: "Dia (Silva) telah putus asa (untuk memenangi kontrak baru) memandangkan dua bulan lalu, Leonardo memberitahunya bahawa mereka tidak bercadang melanjutkan kontraknya. Tetapi Selasa lalu, Leonardo memanggil Thiago dan memberi bayangan bahawa pemain itu akan kekal setahun lagi.

"Thiago sudah mencapai kesepakatan dengan Chelsea, tidak akan berpatah balik. Ketika anda membuat tawaran seperti itu, anda perlu yakin.

"Seorang pengarah sukan yang sudah memaklumkan kepada pemain bahawa mereka tidak menginginkannya lagi, tetapi dua bulan kemudian pula mengubah fikiran, bagaimana kami mhau bertindak balas?

"Di sebuah kelab, pengarah sukan dan pengurus harus berjalan seiringan. Inilah masalahnya. Tuchel memang mahukan khidmat Thiago. Individu yang tidak mahukan Thiago adalah Leonardo dan dia yang berkuasa.

"Itulah puncanya dan walaupun dia tidak menandatangani kontrak bersama Chelsea, Thiago sama sekali tidak ingin melayani tawaran Leonardo itu memikirkan tindakannya dua bulan sebelumnya. Ia satu tindakan yang memalukan.

"Kami tidak pernah bercakap mengenai wang atau jangka masa kontrak. Tidak pernah. Leonardo hanya mengatakan bahawa dia tidak lagi menagih sentuhannya. Tidak lebih daripada itu."

Silva memeterai kontrak setahun bersama The Blues dengan pilihan melanjutkannya 12 bulan lagi di Stamford Bridge.