Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak mengiktiraf sebarang keputusan dan pemilihan jawatankuasa baru dalam kongres luar biasa (EGM) badan induk itu semalam.

Beliau berkata perjumpaan tersebut di sebuah hotel di Seri Kembangan adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak mengikut prosedur serta gagal memenuhi Artikel 30, Statut FAS.

Berikutan itu, Tengku Amir yang juga Raja Muda Selangor, berkata beberapa memo sudah diedarkan oleh Sekretariat Agung FAS yang mempertikaikan kesahihan perjumpaan berkenaan.

“Beta sekali lagi ingin menekankan bahawa perjumpaan itu tidak sah, tidak mengikuti prosedur yang betul dan juga tidak diiktiraf oleh beta dan juga persatuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, baginda mendakwa kumpulan yang menganjurkan EGM itu gagal menunjukkan sebarang bukti kepada Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa mereka mempunyai korum yang cukup untuk mengadakan kongres tersebut.

Tengku Amir berkata FAS telah mengadakan beberapa mesyuarat dan berbincang dengan Pesuruhjaya Sukan dan FAM selain telah memberi bukti mengapa perjumpaan itu tidak sah.

Susulan itu, katanya, baginda menolak selain tidak mengiktiraf sebarang keputusan serta Jawatankuasa FAS baru, termasuk pelantikan bagindasebagai presiden dalam kongres berkenaan.

Kongres itu menyaksikan semua jawatan, termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan 13 anggota exco FAS menang tanpa bertanding bagi penggal 2017-2021.

-- BERNAMA