EGM KAFA 6 Julai ini

Farizal Yusoff
Jun 22, 2019 11:28 MYT
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memilih presiden dan barisan xxco baru 6 Julai ini.
Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata selepas mengambil kira situasi semasa, termasuk keperluan menyelamatkan bola sepak Kelantan, barisan xxco secara profesional mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh EGM itu.
"Kalau ikut prosedur biasa, ia akan mengambil masa dan lambat untuk dijalankan.
"Dalam keadaan ini, exco mengambil keputusan dengan semangat dan kehendak persatuan bolasepak jajahan (PBJ) untuk segerakan EGM ini sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat exco pagi tadi.
"Kami telah buat ketetapan, EGM perlu dibuat dalam masa 14 hari (iaitu) pada 6 Julai depan (Sabtu). Notis EGM akan dikeluarkan esok dan saya berharap mana-mana PBJ yang mempunyai kelapangan dapat hadir dan mengambilnya di pejabat KAFA," katanya.
Afandi juga mengingatkan semua PBJ bahawa tarikh tutup pencalonan ialah sebelum jam 12 tengah hari, 30 Jun ini, dan EGM akan diadakan pada pukul 10 pagi di Wisma KAFA.
"Setiap calon yang ingin bertanding perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu pencalonan (minimum) daripada mana-mana PBJ dan sebaik sahaja kami terima senarai pencalonan, calon terbabit akan dihubungi untuk menentukan pendirian mereka (untuk terima atau tidak) sebelum 5 Julai ini.
"Kita mempunyai 15 jawatan untuk dipertandingkan dalam pemilihan kali ini, iaitu presiden, timbalan presiden, tiga jawatan naib presiden dan 10 exco," katanya.
EGM itu akan diadakan ekoran peletakan jawatan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, selepas mendapat desakan daripada pelbagai pihak.
Setakat ini, dua calon menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden KAFA, iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.