Edwards yakin pengarah sukan baru Liverpool mampu bantu Klopp pacu kejayaan

Shaiful Shamsudin
November 11, 2021 00:03 MYT
Pengarah Sukan Liverpool, Michael Edwards, yakin penggantinya Julian Ward berupaya membantu pengurus, Jurgen Klopp, membawa lebih banyak kejayaan kepada kelab itu.
Edwards akan melepaskan jawatannya pada penghujung musim ini sebaik kontraknya tamat selepas menyertai Liverpool pada 2011 sebagai ketua analitis sebelum akhirnya beralih ke jawatan yang disandangnya sejak 2016 itu.
Sepanjang dia bertindak sebagai pengarah sukan, The Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.
Edwards, bagaimanapun, yakin Penolong Pengarah Sukan, Ward, sudah bersedia mengisi ketiadaannya malah perubahan itu akan merangsang The Reds untuk terus berusaha memburu gelaran.
"Saya tahu Liverpool yang saya tinggalkan akan berada di tangan yang lebih baik," tulis Edwards dalam surat terbuka kepada peminat Liverpool di laman sesawang rasmi kelab itu.
"Saya fikir adalah orang yang akan mengambil alih peranan ini sewajarnya adalah Julian Ward.
"Julian telah membina set kemahiran untuk peranan ini sejak sekian lama dan terdapat banyak elemen ideanya yang boleh diketengahkan, bukan sekadar tindakan cemerlangnya dalam mewujudkan jabatan pinjaman kami enam tahun lalu.
“Dalam tempoh ini, dia bukan sahaja meletakkan asas untuk proses jangka panjang yang akan terus memberi manfaat ketara kepada pemain dan kelab, bahkan dia juga mempercepatkan pembelajarannya mengenai banyak aspek yang bakal dihadapi sebagai pengarah sukan.
"Tahun lalu, dia mula memegang jawatan sebagai penolong pengarah sukan dan sejak itu dia mula diperkenalkan dengan peranan penting untuk memastikan kejayaannya.
"Sekali lagi, perkembangan Julian selaras dengan apa yang saya percaya sebagai faktor utama cara kerja Liverpool -- menaikkan jawatan di peringkat dalaman bagi memastikan kepakaran, pengalaman dan pengetahuan institusi dihargai dengan cara yang sepatutnya.
"Sepanjang baki musim ini, saya akan terus menyokongnya untuk kami melengkapkan peralihan kepimpinan, bekerjasama rapat dengan Mike Gordon -- seorang lelaki yang tidak pernah tidur."

Michael Edwards’ open letter to Liverpool supporters:

— Liverpool FC (@LFC) November 10, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Edwards memberikan pujian khas terhadap karakter kompetitif pengurus Jerman itu dan pencapaiannya di Merseyside.
"Apabila kami menandatangani pemain, Jurgen akan sentiasa mengatakan ia 50 peratus bergantung kepadanya dan selebih lagi terpulang kepada pemain itu sendiri untuk berjaya," tambah Edwards.
“Saya rasa dengan kehadiran, pelaksanaan falsafah serta wataknya sebagai pemimpin, dia akan dikenang selama-lamanya di Liverpool."
#Liverpool #EPL #Liga Perdana Inggeris