Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, melabel Ederson sebagai penghantar bola terbaik yang pernah dilihatnya daripada seorang penjaga gol.

Hantaran jauh Ederson membantu Ilkay Gundogan menjaringkan gol terakhir City ketika menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.

Sebelum ini, Guardiola berasakan penjaga gol itu mampu menjadi pengambil sepakan penalti City susulan kemahirannya menggunakan kaki.

Pernah melatih Manuel Neuer di Bayern Munich dan Victor Valdes di Barcelona, Guardiola berkata Ederson merupakan penghantar bola terbaik.

"Dengan kakinya, dia merupakan penjaga gol terbaik. Kualiti hantarannya, saya boleh katakan yang terbaik.

Manuel dan Victor amat hebat juga tetapi kualitinya ketika melakukan hantaran adalah yang terbaik. Saya tidak mahu katakan siapa yang terbaik (secara keseluruhan) kerana sebelum ini saya mendapatkan kejayaan dengan penjaga gol yang hebat seperti Victor, Manuel dan Eddie.

"Dia menerima pujian daripada pengurus, staf pasukan dan pemain. Dia pemain yang cemerlang dan dia menyedarinya.

"Tetapi setiap pemain mengetahui -- jika anda mahukan pujian dan diiktiraf, menangi perlawanan, menangi gelaran dan anda akan menerimanya.

"Jika anda tidak memenangi perlawanan dan gelaran, anda tidak akan menerimanya. Ia semudah itu," katanya.

City kini mendahulu di kedudukan teratas EPL dengan tujuh mata dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan menjelang kunjungan ke laman Everton, Rabu ini.