Ederson Moraes tidak menyembunyikan rasa bangga selepas dipanggil menyertai skuad kebangsaaan Brazil untuk menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu melengkapkan perpindahan ke Manchester City dari Benfica pada awal musim panas lalu dan sejak itu, dia terus mengesahkan statusnya selaku penjaga gol nombor satu di Etihad.

Kepercayaan yang diberikan oleh pengendali, Pep Guardiola, membuahkan hasil apabila namanya tersenarai buat pertama kali dalam skuad Brazil bagi menghadapi Ecuador dan Colombia.

“Saya sangat gembira apabila dipanggil ke skuad kebangsaan Brazil,” katanya.

“Ia jelas satu pencapaian baru dalam karier saya dan kerja keras yang dilakukan selama ini akhirnya terbalas.

“Saya percaya Brazil memiliki ramai penjaga gol yang hebat tetapi sekarang, saya akan pergi dan bertekad memberikan aksi terbaik,” tambah Ederson.

Di peringkat kelab, Ederson semakin membiasakan diri dan selesa dengan persaingannya bersama seorang lagi penjaga gawang City, Claudio Bravo.

“Saya semakin membiasakan diri walaupun mengalami sedikit masalah dengan bahasa.

“Bravo adalah rakan saya dan City beruntung kerana memiliki dua orang penjaga gol yang bagus.

“Kami harus memenangi banyak perlawanan dan tidak kira siapa yang dipilih oleh Guardiola seharusnya menjalankan tugas dengan baik,” tambah Ederson.