Eder menggesa rakan sepasukannya di Inter Milan agar menampilkan permainan bertenaga dalam pertemuan getir dengan Roma dalam usaha mereka merebut tiket Liga Juara-Juara memandangkan tiga pencabar yang lain memberikan saingan hebat.

Inter kini di kemuncak prestasi, memenangi sembilan daripada 10 perlawanan terakhir, dan hanya enam mata di belakang Napoli yang menduduki tempat ketiga Serie A dan lapan mata dipisahkan dengan Roma yang akan bertandang ke San Siro, Ahad ini.

Dengan baki 13 perlawanan Serie A musim ini, Eder sedar pasukan kendalian Stefano Pioli itu kesuntukan masa jika mereka ingin bersaing di pentas tertinggi Eropah, musim depan.

Penggempur itu yang meledak tiga gol dalam lima aksi terakhir, sedar Jventus, Roma dan Napoli sedang bersaing sengit.

"Kami beraksi dengan baik ketika ini, kami berada di landasan yang betul, namun pasukan di atas kami sedang memecut," kata Eder kepada Inter Channel.

"Kami sedar ini merupakan perlawanan getir -- ia menjadi tumpuan berlandaskan keputusan yang diraih kami kebelakangan ini.

"Roma merupakan pencabar yang mantap. Peluang perlawanan adalah 50-50 meskipun kami memiliki sedikit kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, di mana kami harus memanfaatkannya.

"Walau apapun, kami akan bersedia."

Eder melahirkan kebimbangan terhadap penyerang prolifik pihak lawan, Edin Dzeko.

"Selain Edin Dzeko, kami mengambil kira kekuatan mereka sebagai sebuah pasukan

"Jika skuad mereka beraksi dengan baik, ia akan mempengaruhi permainan individu. Oleh itu, Giallorossi sangat mantap.

"Saya mengenali Daniele De Rossi kerana beraksi bersamnya dalam skuad kebangsaan, dia memiliki personaliti, begitu juga Radja Nainggolan dan pemain-pemain lain."