Penyerang Real Madrid, Eden Hazard, yakin mampu mengetepikan masalah kecederaan yang membelenggunya sepanjang dua tahun pertama dalam LaLiga.

Hazard ditandatangani daripada Chelsea dengan bayaran awal sebanyak €100 juta (RM500j) dengan kemungkinan kesepakatan itu akan meningkat berdasarkan bonus tambahan.

Begitupun, bintang Belgium itu gagal mencipta impak di ibu kota Sepanyol itu dan dilaporkan menjadi salah satu pemain yang sedia dilepaskan dalam usaha kelab meringankan beban kewangan berikutan impak COVID-19.

Kecederaan yang berlarutan telah merosakkan karier Hazard di Madrid, membataskannya kepada 43 penampilan sepanjang kempen 2019-20 dan 2020-21, dengan 31 daripadanya dalam kesebelasan utama.

Namun, pemain berusia 30 tahun itu yang beraksi dalam kempen Euro 2020 yang lalu sudah mengatasi masalah pergelangan kakinya dan kelihatan lincah ketika Madrid menundukkan Deportivo Alaves, semalam, dalam perlawanan pertama kendalian Carlo Ancelotti sejak kembali ke kancah LaLiga.

Sungkitan tumitnya membuka ruang buat Karim Benzema meletakkan Los Blancos di hadapan sebelum melengkapkan kemenangan 4-1.

Bantuan gol itu adalah salah satu daripada tiga peluang menarik yang dicipta Hazard sebelum digantikan oleh Vinicius Junior pada minit ke-66.




"Saya tidak fikir apa-apa selain perasaan baik untuk saya dan pasukan," kata Hazard kepada Movistar +.

"Saya seronok, saya berasa baik, kami mahu memenangi LaLiga musim ini.

"Kecederaan pergelangan kaki yang kerap mengganggu saya sudah lalu, sudah di luar fikiran saya. Saya akan mencurahkan segalanya musim ini."

Hazard bermula di tiga barisan depan di samping Gareth Bale dan Benzema. Enam hantaran berkualiti disalurkan kepada penggempur Perancis itu sambil Luka Modric (13), David Alaba dan Federico Valverde (kedua-duanya lapan).

"Saya gemar beraksi dengan Benzema, kami saling mengenali dengan baik dan seronok bermain dengannya," tambah Hazard.

Madrid akan bertandang ke Levante pula, Isnin depan.