Roma mengeluarkan satu kenyataan bagi membalas tuduhan yang dibuat terhadap seorang anggota kejurulatihan mereka dalam kekalahan 1-2 Liga Persidangan Europa (ECL) di Bodo/Glimt, semalam.

Kenyataan itu menjelaskan kelab berkenaan telah membantu siasat Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan pihak berkuasa tempatan selepas jurulatih penjaga gol Giallorossi, Nuno Santos, didakwa menyerang jurulatih tuan rumah, Kjetil Knutsen, di dalam terowong pemain ketika perlawanan suku akhir pertama dengan pasukan Norway itu.

Knutsen mengatakan Santos telah mencekik lehernya dan menolaknya ke dinding dalam pertengkaran itu.

Ia adalah kali kedua kelab Norway itu menewaskan Roma musim ini dengan gol separuh masa pertama daripada Lorenzo Pellegrini dipadamkan oelh Ulrik Saltnes dan Hugo Vetlesen dalam babak seterusnya.




Selepas perlawanan, Pellegrini memberitahu Sky Sport Italia bahawa dia percaya Knutsen terlebih dahulu menyerang Santos tetapi ia dinafikan sekeras-kerasnya oleh seteru itu.

Bodo/Glimt juga mengeluarkan kenyataan mengenai insiden itu dengan berkata: "Roma menghujani media dengan perkara yang tidak benar dalam usaha menyembunyikan kelakuan buruk itu.

"Glimt tahu video kejadian yang menunjukkan serangan wakil Rom terhadap Knutsen wujud.

"Kami telah menonton rakamannya. Kami menuntut orang ramai agar mempunyai akses kepada video yang dimiliki oleh UEFA ketika ini."