INTER 3 SHERIFF 1

Edin Dzeko mengakui kadang-kadang dia dihambat rasa bersalah kerana membazirkan peluang mudah selepas memimpin Inter mencipta kemenangan penting 3-1 ke atas Sheriff dalam Liga Juara-Juara (UCL).


Penyerang dari Bosnia-Herzegovina itu menggegar gawang lawan menerusi volinya dalam separuh masa pertama untuk meletakkan Nerazzurri di depan dalam pertemuan di San Siro, awal pagi tadi.

Sebastien Thill kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma, tetapi umpanan Dzeko kepada Arturo Vidal mengembalikan keunggulan Inter sebelum Stefan de Vrij memastikan kemenangan kedua mereka dalam 10 perlawanan UCL.

Penyudah hebat Dzeko itu hadir selepas dia gagal memanfaatkan peluang lebih mudah ketika hanya perlu berdepan Dumitru Celeadnic pada minit ke-17.

Justeru, pemain berusia 35 tahun itu -- yang telah menyumbangkan tujuh gol dalam 11 penampilan sejak ditandatangani untuk menggantikan Romelu Lukaku -- tidak berselindung bahawa dia sering gagal memanfaatkan peluang yang lebih menarik.

"Kadang-kadang saya membuatkan jaringan sukar itu kelihatan mudah tetapi saya juga gagal menyudahkan peluang mudah!" katanya kepada Sky Sport Italia.

"Ini mungkin mengenai soal tumpuan tetapi apa yang penting adalah menyumbat gol pada malam ini.

"Kami patut menjaringkan lebih banyak gol lagi di Rom (ketika menentang Lazio) tetapi apa yang penting ialah kami dapat melakukannya dalam perlawanan lain dan ia akhirnya menjelma hari ini. Kami melakukannya dengan baik selepas sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan UCL."