SALERNITANA 0 JUVENTUS 2

Juventus kembali ke landasan kemenangan dalam Serie A selepas menewaskan kelab di tangga tercorot, Salernitana, 2-0 di Salerno awal pagi tadi.

Ketua jurulatih, Massimiliano Allegri, menganggap Juve sudah terkeluar daripada perebutan gelaran Serie A selepas tewas kepada Atalanta pada Sabtu lalu, di mana mereka sebelumnya dibelasah 0-4 oleh Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Tetapi Juve kembali bangkit meraih kemenangan dalam perlawanan terbaru mereka dengan Paulo Dybala membuka jaringan seawal minit ke-21 walaupun dia kemudian menyepak tinggi sepakan penalti pasukannya dalam waktu kecederaan.

Bagaimanapun, kegagalan Dybala menyempurnakan sepakan itu tidak memberikan kesan buat Juve memandangkan Alvaro Morata terlebih dahulu melebarkan kelebihan itu pada minit ke-70.

Turun dengan misi mengelakkan kekalahan ketiga berturut-turut di tangan pendatang baru Serie A, Juve bermula baik dengan percubaan Dejan Kulusevski yang tersasar.

Kulusevski kemudian muncul pencetus jaringan pembukaan apabila permainan satu-duanya dengan Dybala disudahkan dengan sepakan rendah pemain itu bagi menewaskan penjaga gol, Vid Belec.

Giorgio Chiellini hampir menggandakan kelebihan pelawat apabila menyumbat masuk bola muntah susulan sepakan percuma Juan Cuadrado tetapi jaringan pertamanya dalam saingan liga musim ini dibatalkan video bantuan pengadil (VAR), yang mendapati Moise Kean terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.

Salernitana memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi percubaan Luca Ranieri pada minit ke-57 tetapi sepakannya terkena tiang gol meskipun penjaga gol Juve, Wojciech Szczesny, sudah tertewas.

Kegagalan itu jelas membawa padah buat tuan rumah apabila Morata hanya memerlukan tiga minit selepas dimasukkan untuk menolak masuk hantaran rendah Federico Bernardeschi.

Juventus seterusnya akan berpeluang mengekalkan momentum mereka dengan menantikan kunjungan Genoa di Stadium Allianz hujung minggu ini -- sehari selepas Salernitana menghadapi AC Milan di San Siro.