"Berat tetapi bukan mustahil."

Begitu kata pengendali The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, mengenai pertemuan separuh akhir kedua Piala FA berdepan Pahang di Stadium Perak, malam ini.


Bagi pengendali dari Australia itu, bukan mudah untuk memadamkan kelebihan 3-1 dinikmati Pahang yang sudah pasti bertekad mempertahankan kejuaraan.

Dia juga mengakui kekalahan dengan jurang dua gol itu menyulitkan lagi tugas berbanding jika tumpas 1-2 di Kuantan dalam pusingan pertama .

"Bukan mudah tetapi kami akan berusaha," katanya.

Bekas ketua jurulatih Selangor itu juga berkata satu lagi sebab mengapa Perak ingin menang ialah mahu menamatkan kemarau 14 tahun dalam trofi kalah mati itu.

"Sudah terlalu lama kami tidak masuk final. Kali terakhir ialah dalam tahun 2015 bertemu Terengganu. Perak menang 3-0," tambahnya.

"Jadi, kami mahu mengulanginya bagi menambah koleksi gelaran kepada Piala Malaysia 2018."

Justeru, Durakovic menyeru penyokong The Bos Gaurus membanjiri stadium malam ini bagi menyemarakkan sokongan kepada pasukan.

"Kami perlukan sokongan padu penyokong selaku pemain ke-12 malam ini. Saya yakin kami boleh berjaya biarpun tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama gara-gara penggantungan dan kecederaan."