Dibelenggu kecederaan pemain utama, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, bercadang menggunakan pelan B dengan melibatkan pemain muda menjelang aksi kedua Liga Super bertemu Kedah, esok.

Hasrat Durakovic untuk menurunkan barisan terbaiknya tidak kesampaian apabila tiga pemain tempatan, Nasir Basharuddin dan Kenny Pallraj mengalami kecederaan dan yang terbaru, Shahrel Fikri Md. Fauzi, yang menafikan penampilan mereka di Stadium Perak, malam esok.

Perkembangan itu menggusarkan Durakovic yang berhasrat memenangi tiga mata pertama musim ini.

"Inilah bola sepak dan kami perlu teruskan perjuangan.

"Saya akan memberi peluang kepada beberapa pemain muda dan berharap mereka mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan," katanya dalam sesi latihan di venue perlawanan petang tadi.

Bagaimanapun, The Bos Gaurus sedia menyambut kembali sentuhan penyerang Brazil, Gilmar Jose da Silva, yang terlepas aksi pembukaan dalam perebutan Piala Sumbangsih dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu.