Pujian tinggi dihamburkan Mehmet Durakovic terhadap anak buahnya berikutan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA, malam semalam.

"Saya berterima kasih kepada setiap pemain kerana berjaya merealisasikan impian ke final.

"Memang saya menjangkakan perlawanan ini sukar buat kami kerana Pahang adalah juara bertahan.

"Bagaimanapun, pemain Perak menunjukkan perwatakan serta kesungguhan untuk berjaya.

"Tahniah saya ucapkan kepada setiap pemain.

"Sebagai satu keluarga, kami kalah dan menang bersama," katanya selepas menundukkan Pahang 3-0 di Ipoh untuk mara ke final dengan agregat 4-3.

Jurulatih dari Australia itu menyimpulkan persembahan malam tadi sebagai yang terbaik daripada Perak.

"Ini aksi terbaik Perak setakat ini. Saya tidak menjangkakan kami mampu menang dengan selesa sebegini," katanya.

Jurulatih itu menambah sokongan padu hampir 20,000 penyokong turut menjadi faktor yang membakar dan menyuntik semangat The Bos Gaurus.

"Saya gembira pemain Perak membalas sokongan padu penyokong dengan aksi mantap dan bertenaga.

"Ini hadiah kepada seluruh rakyat dan Menteri Besar Perak di atas sokongan selama ini.

"Rakyat Perak sudah menunggu selama 15 tahun untuk detik ini," katanya.

Begitupun, Durakovic berkata tugas Perak belum selesai kerana belum memenangi trofi kalah mati itu.

Pasukan itu kini menunggu pemenang di antara Kedah dan Felda United yang akan ditemui dalam aksi final, 27 Julai ini.