Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Perak 2-1 di Ipoh, malam tadi.

Pertembungan dua pasukan teratas itu menjadi tumpuan kerana Perak mahu menjaga rekod baik mereka beraksi di laman sendiri sementara JDT mahu muncul juara lebih awal.

Kedua-dua pasukan amat berhati-hati dalam babak pertama dan peluang terbaik Perak dimiliki Gilmar Da Silva pada masa kecederaan, bagaimanapun tiang menjadi penghalang walaupun Mohd Farizal Marlias sudah tertewas.

Rentak JDT berubah dalam babak kedua dengan Gonzalo Cabrera memberi amaran kepada Perak pada minit ke-51 menerusi percubaan dari luar kotak penalti yang ditepis keluar Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Malang terus menimpa Perak pada minit ke-65, dengan Leandro Dos Santos pula tertunduk hampa selepas bola sepakan percumanya mengenai palang.

Penantian Perak berakhir tujuh minit kemudian menerusi pemain sayap kiri, Mohammad Nor Hakim Hassan, yang berjaya memanfaatkan umpanan Wander Luiz untuk meletakkan Perak satu gol di hadapan.

Gol itu membuatkan JDT tersentak sebelum mereka pantas mencari gol penyamaan tiga minit kemudian apabila bola sepakan percuma yang diambil Safawi Rasid pantas disambar Hariss Harun.

Safawi muncul wira pasukan dengan gol kemenangan pada minit ke-83 hasil hantaran lintang Gonzalo Cabrera di sebelah kiri bagi memastikan JDT berpesta mempertahankan kejuaraan Liga Super di Ipoh.

"Dua sepakan bola mati, dua gol. Itulah bola sepak. Apa yang kita boleh lakukan? Tetapi saya sangat bangga dengan pemain saya, bangga dengan cara mereka mengendalikan perlawanan sepanjang 90 minit," kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

"Pemain bermain sangat baik dalam separuh masa kedua dan saya sangat gembira dengan semua pemain JDT," kata jurulatih JDT, Raul Longhi.