'Apa guna menang 10-0, kutipan tetap tiga mata juga.' Demikian reaksi jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, apabila disoal mengenai prestasi sebenar anak buahnya yang hanya mencetak jaringan tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti ke atas Kelantan dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Ketika ada yang cuba mempertikaikan kemampuan The Bos Gaurus, Durakovic cepat menepis dakwaan bahawa anak buahnya tidak berada pada prestasi terbaik mereka.

Pengendali tersebut tegas mempertahankan anak buahnya biarpun pada hakikatnya, banyak percubaan yang gagal disempurnakan selain hanya sepakan penalti Leandro Dos Santos pada minit ke-68 menjadi penyelamat maruah Perak.

"Kami menentang sebuah pasukan yang baik.

"Tidak kira sama ada kami menang 1-0, 4-0 atau 5-0 sekalipun, ia tetap tiga mata selagi kami mencipta ruang," kata Durakovic.

Apa yang pasti, kemenangan yang diharapkan Durakovic direalisasikan dan itu sudah cukup untuk pengendali itu berpuas hati selain menghamburkan kata pujian buat anak buahnya.

Seterusnya, Perak akan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi liga dengan seteru itu hanya memerlukan satu sahaja lagi kemenangan untuk memastikan trofi Liga Super kekal di tangan mereka.

Begitupun, Durakovic tidak rela hal itu berlaku di Stadium Perak pada 11 Julai nanti.

"Saya akan memberikan cuti selama beberapa hari kepada pemain. Kami akan kembali membuat persiapan menghadapi JDT pula.

"Ia perlawanan mustahak bagi kami. Kami mahu menang di depan penyokong sendiri selain merebut tempat kedua liga," katanya lagi.