Boca Juniors mengesahkan Dario Benedetto dan Carlos Zambrano akan terlepas dua perlawanan seterusnya selepas bertelagah sesama sendiri ketika mereka seri dengan Racing Club, hujung minggu lalu.

Insiden itu berlaku dalam separuh masa pertembungan Divisyen Primera di El Cilindro de Avellaneda, di mana kedua-dua pasukan buntu tanpa jaringan.

Walaupun pertengkaran itu tidak dirakamkan oleh kamera, Benedetto dan Zambrano dilaporkan terpaksa dileraikan oleh pengawal keselamatan sebelum muncul dalam babak kedua dengan kesan lebam di muka.

Kelab itu kemudian mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan duo terbabit tidak akan diturunkan dalam dua perlawanan berikutnya termasuk bertemu Rosario Central yang kini diuruskan oleh bekas bintang Boca, Carlos Tevez.

Kenyataan itu berbunyi: "Selepas peristiwa yang berlaku Ahad lalu, Atletico Boca Juniors ingin memaklumkan bahawa pemain, Dario Benedetto dan Carlos Zambrano, tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad pasukan utama dalam dua perlawanan akan datang."

Naib Presiden Boca, Juan Roman Riquelme, tampil menjelaskan situasi itu sambil menyatakan garis panduan tentang perkara berkenaan.

Dia memberitahu ESPN: "Pemain ini telah bertengkar dan ketika ini mereka perlu bermuhasabah. Tidak lebih daripada itu. Ia semudah itu.




"Saya cukup bertuah pernah menjadi pemain dan kebanyakannya perbincangan di antara rakan sepasukan berlaku dalam sesi latihan. Dalam perlawanan rasmi ia jarang berlaku kerana kemarahan anda tertumpu kepada perjuangan. Anda akhirnya akan bergaduh dengan pihak lawan.

“Saya tiada di sana ketika kejadian itu, saya tidak tahu mengapa perbalahan tersebut boleh tercetus tetapi jika saya tahu sekalipun, saya tetap tidak akan mendedahkannya kerana perkara yang berlaku di bilik persalinan kekal di sana.

"Mereka telah mengadakan perbincangan di bilik persalinan, juga di hotel. Mereka bercakap dan menjernihkan suasana. Mereka adalah orang yang hebat dan kami berharap ia tidak akan berulang lagi.

"Sekarang adalah masa untuk pemain berfikir, bermuhasabah dan itu sahaja. Kami perlu bergerak ke hadapan. Kami sangat gembira."