SARAWAK UNITED 0 NEGERI SEMBILAN 1

Negeri Sembilan memintas Sarawak United untuk ke puncak Liga Perdana dalam kemenangan 1-0 yang penuh tegang yang menyaksikan kedua-dua mengakhiri permainan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dengan 10 pemain.

Skuad Jang kini berkelebihan satu mata selepas memungut tiga mata menjelang pertembungan terakhir Selasa ini sambil perlawanan sebentar tadi dicemari beberapa kekasaran.

Barisan bimbingan K. Devan pada awalnya gagal mengambil kesempatan ke atas insiden kad merah penjaga gol tuan rumah, Sharbinee Allawee, akibat mengangkat tinggi kakinya ketika cuba menangkap bola tinggi pada minit ke-66.

Zamri Pin Ramli terbaring kesakitan ekoran terjahan Sharbinee itu tetapi penyerang import, Francis Kone, sekadar menyepak liar sepakan penalti yang diberikan.

Walaupun perlawanan kekal seimbang, sekali lagi hantaran tinggi dari bahagian sayap menjadi ramuan pelawat untuk memerangkap lawan.

Kone akhirnya berhasil memerangkap lawan menerusi tandukannya ketika dua minit melewati masa kecederaan. Namun, tindakannya yang membuka jersi bagi meraikan jaringan itu mengundang kad kuning kedua lalu diarahkan meninggalkan padang.

Adegan panas perlawanan tidak tamat di situ apabila berlarutan selepas wisel penamat ditiupkan.

Pertahanan Sarawak United, Badrul Affendy -- yang berbalut kepalanya berikutan kekasaran awal Kone -- nyata tidak berpuas dengan keputusan pengadil, Kamil Zakaria, yang merupakan seorang guru kerana mengesahkan jaringan tunggal penyerang dari Togo itu yang menerpa hingga dia terjatuh kerana disiku.

Dia lantas meluru ke arah pengadil sebaik perlawanan berakhir malah beberapa pegawai di kem kelab Borneo itu juga cuba bertindak sama sebelum ditenangkan.






Perlawanan terakhir Selasa ini bakal menyaksikan anak buah E. Elavarasan itu bertemu Johor Darul Ta'zim II sementara Negeri Sembilan berdepan PDRM.

Dalam perkembangan berbeza, perlawanan di antara Kuching City dan Kelantan United terpaksa ditunda selepas dua pemain daripada kelab Pantai Timur itu dijangkiti COVID-19.

Keputusan lain:

Selangor II 1 Terengganu II 4

Skuad Projek FAM-MSN 0 Perak II 2