CARDIFF CITY 0 EVERTON 3

Gylfy Sigurdsson menandakan kepulangannya ke Wales Selatan dengan dua jaringan gemilang yang membantu Everton menumbangkan Cardiff City 3-0 dalam Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.


Kemenangan itu melegakan sedikit tekanan yang dihadapi pengurus pasukan, Marco Silva.

Tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini meletakkan kedudukan Silva dalam bahaya, dengan Everton perlu menunggu 17 hari untuk kembali bangkit sejak ditewaskan Watford, awal bulan ini.

Namun, bekas bintang Swansea City, Sigurdsson, memudahkan tugas itu.

Selepas membuka jaringan dalam empat minit terakhir babak pertama, Siggurdsson kemudian menghasilkan sepakan lencong gemilang yang membantu Everton menamatkan badi kekalahan mereka -- sambil menjadi penjaring terbanyak The Toffees dalam proses itu.

Keputusan perlawanan mungkin berbeza andai Lucas Digne gagal mempamerkan pertahanan cemerlang pada awal permainan, namun Cardiff hanya mampu memberikan sedikit ancaman untuk mereka berdepan dengan kekalahan kedua berturut-turut.

Kecelaruan Cardiff dihukum dengan gol ketiga Everton menerusi jaringan lewat permainan Dominic Calvert-Lewin.

Phil Jagielka hampir mengakibatkan Everton bolos awal dalam dua minit pertama aksi pertamanya musim ini, namun Digne menewaskan Nathaniel Mendez-Laing untuk mengeluarkan hantaran lintang Kenneth Zohore dari kawasan bahaya.

Jagielka kemudian terlibat dalam percubaan pertama Everton ketika Theo Walcott merembat voli kencang yang terkena pertahanan lawan.

Siggurdson tidak melakukan kesilapan seperti itu ketika dia menjaringkan gol pembukaan Everton apabila menyudahkan hantaran 'cutback' Seamus Coleman.

Dia kemudian menggandakan jaringan itu pada minit ke-66 selepas memanfaatkan bola muntah susulan hantaran lintang Bernard.

Tumpuan di penghujung perlawanan terarah kepada Calvert-Lewin yang beraksi dalam penampilan liganya yang ke-100 apabila pemain itu menjaringkan gol pada minit terakhir waktu kecederaan untuk Everton kembali ke landasan kemenangan.