ARSENAL 3 BRENTFORD 1

Unai Emery akan mempertimbangkan peranan Danny Welbeck dalam kesebelasan utama selepas penyerang Arsenal itu menyerlah dalam kemenangan 3-1 ke atas Brentford dalam Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.


Welbeck, 27, menyumbat dua gol pada separuh masa pertama untuk Arsenal meraih kemenangan sukar dan meningkatkan bilangan jaringannya kepada empat gol dalam enam aksi kompetitif.

Walaupun dalam bentuk prestasi itu, pemain antarabangsa England itu belum memulakan sebarang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim terakhir kontraknya di Stadium Emirates susulan khidmat Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette lebih kerap digunakan.

Emery "sangat gembira" dengan Welbeck apabila ditanya sama ada beliau ingin penyerang itu untuk terus bersama melangkaui kempen ini dan memuji tekanan yang dituntutnya terhadap mereka.

"Dia menawarkan kami kualiti dan komitmennya pada setiap hari," kata pengurus The Gunners itu kepada pemberita.

"Danny Welbeck berusaha memenuhi komitmen ini dan apabila dia bermain dengan prestasi seperti hari ini, dia mampu membantu pasukan dan kami mahukan ini.

"Selain itu, ia menawarkan kepada kami lebih banyak peluang untuk membentuk kesebelasan utama bagi perlawanan seterusnya menerusi persembahan seperti hari ini.

"Setiap pertandingan sangat penting bagi pemain, mereka berpeluang untuk membuktikan keupayaan kepada kami dan setiap penyokong.

"Hari ini, setiap pemain dan juga Danny Welbeck memperagakan aksi yang baik, dia bekerja keras ke atas kedua-dua gol tersebut, ia membantu kami.

"Dan untuk aksi Sabtu nanti, saya boleh mencuba sentuhannya untuk membantu kesebelasan utama memandangkan dia dalam prestasi yang baik dengan komitmen yang besar," tambahnya.

Kemenangan Arsenal ke atas Brentford hasil jaringan lewat Lacazette bermakna mereka kini telah memenangi enam perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Mereka akan berusaha untuk merancakkan semangat itu kepada tujuh apabila menyambut Watford dalam aksi EPL, Sabtu ini.