Arsenal tewas 2-1 di tangan Olympique Lyon menerusi dua gol Moussa Dembele dalam aksi Piala Emirates semalam tatkala Alexandre Lacazette terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali.

Penyerang Perancis, Lacazette, mengalami hentakan ketika di permulaan aksi dan terpaksa dikeluarkan selepas 13 minit, memulakan aksi buruk skuad kendalian Unai Emery itu.

Bekas penggempur Lyon itu dilihat berlari meninggalkan padang, membuatkan tindakan mengeluarkannya itu dilihat sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, ketiadaan Lacazette tidak memberikan impak besar kepada The Gunners selepas Joe Willock memaksa Anthony Lopes melayangkan badan sebanyak dua kali sebelum Pierre-Emerick Aubameyang membuka tirai jaringan menerusi voli hasil hantaran lintang Henrikh Mikhtaryan dari sebelah kanan.

Bernd Leno bertindak cemerlang menafikan percubaan Memphis Depay ketika aksi baru bersambung sebelum pemain gantian Arsenal, Eddie Nketiah, mensia-siakan dua peluang untuk menggandakan kelebihan.

Lyon mendominasi perlawanan selepas sejam apabila Dembele menyudahkan hantaran Depay yang gagal dicapai Leno.

Pemain baru Arsenal, Dani Ceballos dan Gabriel Martinelli, dibawa masuk selepas itu dan menemui jaringan tetapi dibatalkan akibat ofsaid.

Lyon pantas membalas untuk mendapatkan jaringan kemenangan susulan penyudah tenang yang ditampilkan Dembele untuk menewaskan Leno buat kali kedua.

Pelawat bertahan untuk mengesahkan trofi kejohanan walaupun Aubameyang menggegarkan palang menerusi serangan dari sebelah kiri.