ATLETICO 5 EIBAR 0

Diego Simeone yakin pegawai atasan Atletico Madrid akan melakukan yang terbaik demi kelab itu di sebalik laporan mengenai perbincangan baru penganjuran Liga Super Eropah.


Laporan malam tadi mendakwa 12 kelab termasuk pendahulu LaLiga itu bersetuju untuk menubuhkan kejohanan baru yang mampu memberi saingan kepada Liga Juara-Juara (UCL).

Manchester United, Manchester City, Liverpool, Arsenal, Chelsea, Tottenham, Real Madrid, Barcelona, ​​Juventus, Milan dan Inter dikatakan antara kelab yang terlibat dengan cadangan untuk mengembangkannya kepada 16 hingga 18 pasukan.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bertindak balas dengan tegas apabila berikrar akan melakukan segala daya untuk menyekat perancangannya, termasuk melarang 12 kelab terbabit daripada liga tempatan, sementara ada juga yang mencadangkan pemain yang terlibat tidak akan dibenarkan mewakili negara mereka di pentas antarabangsa.

Bercakap selepas kemenangan 5-0 pasukannya ke atas kelab bergelut, Eibar, dia tidak ragu-ragu bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh orang atasan akan meletakkan kepentingan kelab itu terlebih dahulu.

"Tugas saya hanya melatih pasukan," katanya dalam sidang media.

"(Ahli lembaga pengarah) kelab akan membuat keputusan terbaik demi masa depan kami.

"Saya seorang jurulatih dan saya bersedia untuk melatih di mana sahaja mereka arahkan saya. Saya tidak meragui bahawa kelab ini akan memutuskan apa yang terbaik untuk kami."



Atleti mengukuhkan cengkaman mereka di puncak dengan kemenangan klinikal ke atas Eibar yang langsung tidak dibenarkan membuat satu percubaan.

Angel Correa meletakkan Atleti 2-0 sebelum rehat -- jaringan berganda pertamanya dalam 273 perlawanan menyarung jersi jaguh negeri Sepanyol itu -- sebelum Yannick Carrasco menambah gol ketiga sejurus perlawanan bersambung.

Marcos Llorente kemudian menambah dua gol lagi untuk mengesahkan tiga mata dengan bergaya.

Buat julung kalinya pemain Sepanyol itu meraih 10 gol LaLiga semusim dalam kariernya.

Ia melengkapkan kemenangan kelima Atleti dalam 12 perlawanan terakhir liga, namun mereka hanya mempunyai kelebihan tipis dengan seteru kota, Real Madrid; dan Barcelona apabila berusaha untuk menjulang gelaran pertama sejak musim 2013-14.

Atleti gagal mencipta sebarang percubaan hingga minit ke-34, maka tidak hairanlah mengapa Simeone gembira dengan dinamik baru pasukannya selepas keluar dari bilik persalian.

"Jaringan sering menjadi pencetus semangat dan tenaga," tambahnya.

"Babak kedua tidak sama dengan separuh masa pertama; kami jauh lebih dinamik, tepat, lebih banyak pergerakan. Tenaga dan kemenangan selalu memberi anda kekuatan.

"Perkara yang paling penting ialah mendapatkan kemenangan. Inilah yang memberikan anda ketenangan untuk keesokan harinya."