BELGIUM 2 SWITZERLAND 1

Penyerang Belgium, Michy Batshuayi, terdesak untuk melanjutkan prestasinya bersama pasukan kebangsaan ke kelabnya selepas rehat antarabangsa ini.


Batshuayi meledak dua gol untuk membantu Belgium mengungguli Switzerland 2-1 dalam perlawanan ujian awal pagi tadi apabila memanfaatkan kedua-dua percubaannya dalam perlawanan itu.

Pemain berusia 27 tahun itu telah merekodkan 21 gol bersama Belgium dengan lima daripadanya hadir dalam tiga perlawanan terakhirnya bersama The Red Devils.

Namun, ia adalah kisah yang berbeza buat penggempur itu -- dipinjamkan ke Crystal Palace daripada Chelsea -- memandangkan masih belum meledak dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.

"Mengapa saya mampu menjaringkan gol dengan mudah di sini? Itulah soalan yang saya kepada diri sendiri," katanya kepada RTL Sport.

"Ini sesuatu yang agak menjengkelkan tetapi saya tidak mahu memikirkan apa yang sudah berlalu, saya mahu terus maju. Secara peribadi, saya seronok dapat menyumbat dua gol.

"Ini menunjukkan bahawa saya mempunyai kualiti, saya harus berusaha untuk mempamerkan prestasi yang baik di peringkat kelab sebagaimana ketika bersama pasukan kebangsaan."



Belgium itu juga bertuah memandangkan mereka hanya mampu melancarkan tujuh percubaan tepat berbanding 12 percubaan oleh Switzerland.

Pemain Switzerland juga mendominasi perlawanan sebanyak 51.5 peratus sementara melakukan 632 hantaran berbanding pencabar, 594.

Batshuayi berasakan ia satu perlawanan yang mencabar bagi pasukan Roberto Martinez itu yang merehatkan ramai bintang mereka menjelang pertembungan Liga Negara-Negara (UNL) berdepan England, awal pagi Isnin depan.

"Ini perlawanan yang sukar, mereka adalah pasukan yang sangat fizikal. Kami menyedarinya sejak tahun lalu iaitu ketika mereka menyingkirkan kami dalam UNL," tambahnya.