Dua perlawanan persahabatan berturut-turut malam ini dan esok menjadi medan buat jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menguji kemampuan anak buahnya.

Dua perlawanan itu ialah dengan pasukan amatur pilihan Parit Buntar di Stadium Parit Buntar, malam ini dan Perlis FA di Arena Universiti Malaya, malam esok.

Abu Bakar berkata perlawanan dengan pilihan Parit Buntar malam ini diadakan khusus untuk memberi peluang kepada pemain simpanan pasukan itu yang tidak berpeluang beraksi dalam tiga aksi pemanas badan sebelum ini.

"Pemain-pemain yang kurang beraksi akan dapat peluang beraksi, malah semua boleh beraksi," katanya.

Dia juga menjelaskan perlawanan itu diadakan bertujuan memenuhi permintaan penyokong PKNP di daerah Kerian sambil mendedahkan akan menguji seorang pemain import dari Perancis yang menyertai latihan pasukan semalam.

Malah, pemain baru, Mohd Hafiz Kamal, yang menyertai pasukan konglomerat itu lima hari lalu juga berpeluang memperagakan kehebatannya malam ini.

"PKNP FC pasukan kerdil saja. Kami perlukan sokongan peminat," tambah Abu Bakar.

"Pemain import itu baru tiba semalam. Jadi, saya akan turunkan dia untuk separuh masa bagi membantunya memanaskan badan sebelum sekali lagi dalam perlawanan dengan Perlis malam esok."

Abu Bakar yakin pemain tidak terbeban dengan jadual padat yang diatur kerana tugasan diberi sama rata dan pemain beraksi secara bergilir.