Pemain tengah Leicester City, Danny Drinkwater, akhirnya memilih untuk berhijrah ke Chelsea selepas lima tahun bersama The Foxes.

Drinkwater, yang memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2015/16 bersama Leicester, menandatangani kontrak selama lima tahun dalam satu transaksi perpindahan yang dilaporkan bernilai GBP30 juta (RM165 juta).

Pemain berusia 27 tahun itu melakukan 218 penampilan bersama Leicester, menjaringkan 14 gol dengan satu kejuaraan EPL sejak menyertai The Foxes dari Manchester United pada tahun 2012.

“Saya berbesar hati menjadi pemain Chelsea dan tidak sabar untuk mula beraksi,” kata Drinkwater.

“Satu proses yang panjang untuk berada di sini tetapi saya amat gembira dan bertekad mahu membantu pasukan memenangi lebih banyak trofi kejuaraan.”

Drinkwater dijangka bakal kembali ke Stadium King Power dalam masa terdekat apabila Chelsea bertemu Leicester di tempat lawan pada 9 September.