Drama babak akhir di Signal Iduna Park

Penulis Jemputan
Mac 11, 2018 23:36 MYT
BORUSSIA DORTMUND 3 EINTRACHT FRANKFURT 2
Gol pada minit terakhir perlawanan membolehkan Borussia Dortmund mengatasi Eintracht Frankfurt 3-2 untuk terus mengekalkan tangga ketiga Bundesliga, awal pagi tadi.
Selepas tewas di tangan RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini, skuad kendalian Peter Stoger itu melayan kunjungan Eintracht dengan misi menamatkan aksi tanpa kemenangan dalam empat perlawanan.
Hajat itu tampak mampu diraih apabila asakan demi asakan sejak wisel permulaan membolehkan penonton di Signal Iduna Park bersorak apabila Marco Russ menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran lintang Christian Pulisic.
Bagaimanapun, aksi longlai ditampilkan kedua-dua pasukan selepas itu, menjadikan kedudukan 1-0 kekal sehingga menuju waktu rehat.
Bersambung babak kedua, Danny Da Costa hampir memberikan gol penyamaan buat pelawat tetapi Lukasz Piszczek terlebih dahulu menyekat usaha pemain sayap berusia 24 tahun itu.
Luka Jovic akhirnya menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-75 selepas menyempurnakan hantaran Jonathan De Guzman tetapi ia hanya bertahan selama dua minit apabila pemain gantian, Michy Batshuayi, kembali meletakkan tuan rumah di depan.
Danny Blum memberikan harapan satu mata buat pelawat menerusi gol pada minit ke-90 buat Eintracht, namun ketika perlawanan memasuki waktu kecederaan, segalanya berubah.
Piszczek memulakan gterakan dari sebalah kanan sebelum melambungkan bola ke dalam kotak penalti. Batshuayi yang berada di posisi tepat dengan pantas mengawal bola sebelum melepaskan sepakan separa voli untuk memastikan tiga mata menjadi milik Dortmund.
Anak buah Stoger kini menduduki tangga ketiga liga dengan 45 mata, satu mata di belakang Schalke 04 sementara Bayern Munich selesa memimpin carta dengan 66 mata.
#“Bundesliga” #“Borussia #Dortmund” #“Eitrancht #“Michy #Batshuayi” #Frankfurt”