Bidaan Chelsea ditolak Borussia Dortmund untuk mendapatkan khidmat Erling Haaland menurut laporan di Jerman.

Penyerang Norway itu menjadi keutamaan juara Eropah tettapi Sky Germany berkata Dortmund telah menolak tawaran bagi pemain tersebut.

Ia dipercayai Blues menawarkan yuran perpindahan berserta pemain di antara Tammy Abraham atau Callum Hudson-Odoi tetapi gergasi Bundesliga itu tekad untuk mengekalkan khidmat bintang itu.


Haaland menyertai Dortmund pada Januari 2020 dari Red Bull Salzburg dan telah meledak 57 gol dalam 58 penampilan bersama kelab, membantu mereka menjuarai Piala Jerman musim lalu.

Di sebalik menakluki Eropah, Chelsea bergelut di depan gol dengan pemain tengah Jorginho mendahului carta penjaring kelab dengan tujuh gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- kesemuanya terhasil menerusi penalti.

Timo Werner meraih 12 gol dalam semua pertandingan, namun penyerang yang berhijrah dari RB Leipzig musim panas lalu masih tidak konsisten dalam musim pertama di Stamford Bridge.

Dortmund, yang bakal kehilangan khidmat Jadon Sancho ke Manchester United selepas bersetuju dengan yuran perpindahan bernilai GBP73 juta untuk pemain sayap England itu, dilaporkan hanya akan menawarkan Haaland untuk berhijrah dengan yuran perpindahan bernilai GBP150 juta.