Jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, berkata kelab Bundesliga itu tidak memerlukan muka baru dalam jendela perpindahan Januari ini, sekaligus mengetepikan khabar angin yang mengaitkan mereka dengan pemain muda Arsenal, Gedion Zelalem.

Pemain Amerika Syarikat (AS) bawah 23 tahun itu bakal tamat kontraknya pada penghujung musim ini.

Zelalem, 19, yang dilahirkan di Berlin, menghabiskan musim lalu dengan menyarung jersi kelab Scotland, Rangers.

Tuchel, bagaimanapun, tidak bercadang untuk memancing pemain tengah tersebut dengan berkata kepada ESPN FC: "Ketika ini? Setahu saya tidak.

"Saya tidak fikir kami akan menambah pemain (pada Januari).

"Kami mempunyai ramai muka baru dan ia mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Meskipun pemain dari Jerman yang memiliki pengalaman luas, anda perlu mengakui mereka juga memerlukan masa. Apa sahaja perubahan dalam kelab perlukan masa.

"Ketika ini, pasukan ini sedang berkembang. Kami perlu melakukan rombakan besar kerana berdepan banyak masalah kecederaan.

"Kami berharap ramai pemain dapat pulih, ramai pemain yang boleh beraksi dalam setiap minggu, mereka perlu beraksi.

"Ketika ini, kami tidak mahu menambah pemain."

Dortmund kini menghuni tangga keenam Bundesliga dan akan berdepan Werder Bremen pada 21 Januari nanti.