Borussia Dortmund diarahkan supaya menutup teres tempat duduk penyokong, 'Yellow Wall', untuk satu perlawanan dan diminta oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) agar membayar denda EUR100,000 berikutan masalah yang dicetuskan peminatnya ketika bertemu RB Leipzig.

Dortmunt menumbangkan Leipzig -- yang dibayangi kontroversi berkaitan soal pemilikan kelab -- 1-0 dalam aksi Bundesliga, minggu lalu.

Polis Jerman menahan 28 orang kerana terlibat dengan kes menyerang penyokong pelawat.

Menurut polis tempatan, sesetengah penyokong RB Leipzig dibaling objek, termasuk botol dan batu, ketika mereka berjalan untuk memasuki Signal Iduna Park sehingga turut membabitkan kanak-kanak dan peminat yang membawa keluarga bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke, menyelar tindakan itu dan berjanji untuk mengenakan hukuman setimpal ke atas pelaku yang mengoyakkan panji Leipzig, membaling bekas minuman arak dan menyuluh pemain pihak lawan dengan laser.

Ini bukan pertama kali insiden seumpama itu berlaku dan pihak DFB mahu memastikan teres tempat duduk itu ditutup dengan mengetengahkan elemen baru.

Sebelum ini, penyokong Dortmund turut mencetuskan masalah ketika menentang Mainz dan Hoffenheim.

Mereka diberi tempoh sehingga Isnin ini untuk menjawab pertuduhan yang dikenakan.