Borussia Dortmund tidak mempunyai "rancangan alternatif" sekiranya Erling Haaland meninggalkan kelab itu, sebaliknya mereka akan sedia mendengar sebarang tawaran "luar biasa" untuk khidmat Jadon Sancho, menurut Pengarah Urusan, Hans-Joachim Watzke.

Penyerang antarabangsa Norway itu mendapat permintaan tinggi selepas mencetak 49 gol dalam 50 penampilan bersama Dortmund, sekali gus menarik minat kelab gergasi seperti Barcelona, ​​Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG), Manchester City dan Manchester United.

Dia telah melakar 21 jaringan dalam 22 perlawanan Bundesliga musim ini, tambahan 10 gol lagi daripada enam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) untuk mendahului carta jaringan di pentas Eropah itu.

Ejen Haaland, Mino Raiola, dilaporkan telah berunding dengan beberapa kelab di celah-celah spekulasi mengenai masa depan pemain berusia 20 tahun itu.

Tetapi menurut Watzke, mereka belum bersedia untuk kehilangan sentuhannya.

"Kami tidak mempunyai perancangan yang selari," katanya kepada Goal.

"Kami akan membincangkan hal ini secara tenang dengan Erling, ayahnya dan penasihatnya, Mino Raiola.



"Kami juga ingin dia berasa seronok kekal di sini, untuk menjaringkan gol buat BVB pada tahun depan dengan penuh keyakinan. Kami tiada perancangan alternatif mengenainya."

Pemain lain yang kerap dikaitkan akan angkat kaki ialah pemain antarabangsa England, Sancho.

Manchester United dilaporkan hampir mencapai kesepakatan untuk memancing pemain berusia 21 tahun itu pada awal musim 2020-21, namun Sancho kekal di Jerman.

Dia telah dipertaruhkan dalam 31 perlawanan musim ini dengan menjaringkan 12 gol.

Walaupun Watzke mengharapkan musim yang tenang selepas mereka berdepan COVID-19 sambil mengatakan kelab itu tidak akan menolak sebarang tawaran lumayan ke atas sentuhan Sancho.

Ditanya apakah Haaland dan Sancho akan terus mewakili Dortmund pada musim depan, Watzke menjawab: "Saya tidak terlibat dengan kebarangkalian, ia tidak bagus.

"Jadon Sancho telah lama bersama kami berbanding Erling Haaland. Kami juga harus berunding dengan Jadon. Sekiranya ada tawaran yang luar biasa maka seperti biasa kami sedia membincangkannya dengan pemain dan ejennya.

"Begitupun, saya sangat yakin bahawa pasaran perpindahan akan sangat terbatas pada musim panas ini terutama melibatkan kelab besar. Anda boleh melihat kesukaran yang dicetuskan oleh COVID-19. Ia bukan satu luka kecil yang akan sembuh dalam tempoh dua minggu."

Dortmund akan melakukan perjalanan ke Manchester City untuk pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.