Gianluigi Donnarumma sekadar tertawa apabila terdapat dakwaan 'mengarut' yang menyatakan dia tidak gembira di Paris Saint-Germain dan mencari jalan kembali pulang ke Serie A.

Pemain berusia 22 tahun itu baru sahaja menyertai PSG Julai lalu selepas kontraknya bersama Milan berakhir dan gagal mencapai persetujuan baru.

Bagaimanapun, menurut laporan dari Itali minggu ini, Donnarumma sudah mengintai perpindahan ke Juventus Januari ini selepas tidak gembira apabila perlu bersaing dengan Keylor Navas bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Donnarumma diberikan rehat lanjutan selepas memainkan peranan yang penting dalam kejayaan Itali muncul juara Euro 2020 dan perlu menunggu sehingga perlawanan keenam saingan Ligue 1 untuk membuat penampilan sulung ketika menang 4-0 ke atas Clermont .

Dia telah bermain dua perlawanan sejak itu -- kemenangan 2-1 ke atas Lyon dan 2-0 ke atas Manchester City dalam Liga Juara-Juara semalam -- berbanding lapan penampilan buat Navas dalam semua pertandingan.

Tetapi selepas perlawanan bertemu City, Donnarumma menolak laporan bahawa dia tidak mahu berkongsi tugas penjaga gol dengan Navas.

"Saya hanya tertawa," katanya kepada Sky Sport. "Setiap kali saya membuka telefon, saya banyak membaca.

"Saya tahu kekuatan saya, saya tahu siapa saya dan tidak ada masalah sama sekali. Saya di sini, dan saya gembira berada di sini.

"Saya mempunyai kelab yang selalu menyokong saya, dan saya hanya ketawa ketika membaca semua perkara yang mengarut ini. Saya baik-baik saja, dan saya akan terus kekal bersama PSG."