Wira itali dalam Euro 2020, Gianluigi Donnarumma, sah menyertai Paris Saint-Germain (PSG) secara perpindahan percuma setelah meninggalkan AC Milan.

Penjaga gol skuad kebangsaan Itali itu menandatangani kontrak selama lima tahun dengan pasukan gergasi Ligue 1 berkenaan selepas gagal menemui kesepakatan baru dengan Rossoneri.

Sebelum ini, Donnarumma menghabiskan keseluruhan karier seniornya di San Siro, di mana dia telah diturunkan sebanyak 251 kali sejak melakukan penampilan pertama ketika berusia 16 tahun pada 2015.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu, yang menyelamatkan sepakan Jadon Sancho dan Bukayo Saka dalam penentuan penalti final Euro 2020, kini akan memulakan pengembaraan barunya di Parc des Princes menjelang musim depan.

PSG mengesahkan perkara itu dalam laman web rasmi mereka, di mana Donnarumma berkata: "Saya gembira untuk menjadi sebahagian daripada kelab yang besar ini.

"Saya bersedia untuk menghadapi cabaran baru dan terus berkembang di sini.

"Bersama Paris, saya mahu memenangi sebanyak mungkin dan memberikan kegembiraan buat penyokong kami," katanya.