Gianluigi Donnarumma mahu melupakan kesilapan besar yang dilakukan dalam aksi final Piala Itali baru-baru ini bagi mempersiapkan diri menghadapi penghujung saingan Serie A, musim ini.

Pemain berusia 19 thaun itu melakukan kesilapan yang membawa kepada dua gol buat Juventus dalam aksi yang berkesudahan The Old Lady membelasah Milan 4-0 di Stadium Olimpico, Rabu lalu, di mana kesemua jaringan dihasilkan dalam 20 minit pertama.

Donnarumma dan rakan sepasukan akan ke Atalanta esok untuk aksi penting bagi menentukan tempat mereka mendapatkan tiket ke kelayakan Liga Europa tatkala Milan kini memegang kelebihan satu mata dan berada di atas kedudukan pasukan bimbingan Gian Piero Gasperini itu.

Pemain remaja itu berkata seluruh kem Milan mahu melupakan aksi final Piala Itali itu sambil meletakkan fokus untuk menamatkan saingan liga di kedudukan terbaik.

“Kami sememangnya kecewa,” kata Donnarumma di dalam video yang dikeluarkan oleh akaun Twitter rasmi AC Milan.

“Kami benar-benar mahu memenangi perlawanan itu dan maaf kerana tidak dapat melakukannya tetapi kini masanya untuk terus mara. Milan memiliki baki dua perlawanan penting dan kami harus beraksi hebat.

“Ini adalah risiko yang ditanggung seorang penjaga gol. Kesilapan boleh berlaku tetapi saya mahu meneruskan kemaraan.

“Saya melihat rakan sepasukan dalam bilik persalinan dan dapat berasakan tenaga yang positif. Kami telah bersedia.”