Ejen Gianluigi Donnarumma, Mino Raiola, berkata penjaga gol AC Milan itu berhak untuk bermain dengan pasukan lebih baik dan memberikan bayangan mungkin meninggalkan San Siro.

Pemain berusia 18 tahun itu mempamerkan aksi yang mantap ketika membantu Milan meraih kemenangan 1-0 ke atas Sassuolo.

Penjaga gol itu dilihat sebagai calon terbaik bagi menggantikan Gianluigi Buffon untuk Itali dan telah dikaitkan bakal berpindah ke Manchester United, Chelsea dan Real Madrid walaupun masih memiliki kontrak sehingga Jun 2018.

Milan bakal diambil alih oleh pelabur dari China, Sino-Europe Sports, dan Raiola mahu berbincang dengan pemilik baru kelab itu mengenai masa depan Donnarumma.

"Adakah saya menjangkakan perkembangan daripada Donnarumma? Berada di dalam kesebelasan utama bagi menghadapi saingan di Itali adalah sesuatu yang menakjubkan," kata Raiola.

"Adakah dia akan kekal di Milan? Saya masih belum lagi mendengar apa-apa dari kelab tersebut.

"Saya akan bertemu dengan pemilik baru kelab ini untuk membincangkan kontrak jangka panjang Donnarumma.

"Pada pendapat saya, dia berhak beraksi untuk kelab yang lebih besar daripada Milan."