Penyerang Kuala Lumpur (KL) City, Dominique Da Sylva, enggan memikirkan mengenai perpindahan pemain dalam jendela bulan depan, lebih-lebih lagi apabila dia dipalit kecederaan ligamen ketika ini.

Penggempur import dari Mauritania itu terpaksa direhatkan dan mengikuti program pemulihan sekurang-kurangnya untuk dua minggu lagi sebelum boleh kembali beraksi dalam Liga Super.

"Ketika menuju rehat bertemu Sabah, saya tidak tahu mengapa saya menerjah. Sebagai penyerang, saya jarang melakukannya.

"Tetapi ia berlaku dalam situasi getir iaitu sepakan penjuru, jadi saya perlu keluarkan bola dan ia mengakibatkan kaki saya, yang sudah keletihan ketika itu, tersangkut di atas rumput lalu mencederakan ligamen.

"Kemudian saya berasa tidak boleh berjalan," katanya dalam perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Haliza Hamzah, hari ini.


TIDAK RELA LAGI BOCOR DI SAAT AKHIR - BOJAN Pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak tidak mahu lagi pasukannya...

Posted by Malaysian Football League on Tuesday, April 27, 2021



Kecederaan itu menghalangnya untuk menguji gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertembungan Liga Super, Jumaat ini.

"Ujian imbasan menunjukkan saya perlu menjalani pemulihan dengan pakar terapi dalam tempoh dua atau tiga minggu.

"Saya sedia desak diri sendiri untuk kembali segera kerana bukan mudah untuk melihat rakan sepasukan berlatih.

"Saya tidak terlalu memikirkan jendela perpindahan, saya tidak boleh menjamin apa yang akan berlaku pada masa depan.

"Misalnya kecederaan ini yang tidak boleh dijangkakan.

"Saya hanya fokus kepada pasukan dan kalau mereka berpuas hati maka saya akan kekal."