Claudio Ranieri membidas bekas pengendali Perancis, Raymond Domenech, tatkala dia menanti kelulusan untuk mengambil alih kelab Ligue 1, FC Nantes.

Ranieri -- yang membawa Leicester City menjulang Liga Perdana Inggeris dua musim lalu -- menjadi pilihan Nantes bagi menggantikan Sergio Conceicao.

"Walaupun masih belum rasmi, saya telah mencapai persetujuan bersama presiden kelab," Ranieri memberitahu Mediaset Premium.

Nantes memerlukan kelulusan daripada Ligue 1 selepas Presiden Persatuan Jurulatih Perancis, Domenech, cuba menghalang Ranieri daripada mengambil alih kelab Perancis itu atas alasan sudah pun mencecah usia 65 tahun.

"Saya melakukan tugas saya dengan semangat, profesionalisme dan fokus yang tinggi, jadi apa kata orang di luar sana tidak akan memberi kesan kepada saya. Tambahan pula jika individu itu Domenech. Dia memang pelik sedikit," jawab Ranieri.

"Saya yakin dengan projek di Nantes. Mereka memiliki akademi yang bagus dan pernah menghasilkan pemain hebat, antarannya Marcel Desailly dan Didier Deschamps. Presidennya juga seorang yang bersemangat.

"Saya terkejut mereka menghuni kelompok bawahan liga sebelum Conceicao berjaya membawa mereka naik ke kedudukan ketujuh. Itu membuktikan mereka ada peluang cerah untuk bangkit."