Dollah ubah percaturan Sri Pahang tampung kehilangan tonggak utama

Shaiful Shamsudin
Ogos 12, 2022 12:59 MYT
Sri Pahang berdepan ranjau untuk mengekalkan momentum kemenangan apabila pengendalinya, Datuk Dollah Salleh, mengesahkan tiga tonggak utama dihimpit kecederaan.
Jurulatih sementara skuad Pantai Timur itu diulit resah menjelang pertemuan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam esok, sambil mengakui kehandalan Melaka.
"Kami harap dapat mengekalkan momentum tapi begitu juga berlaku ke atas pasukan Melaka sejak diambil alih oleh Asri Ninggal.
"Kami juga tahu kekuatan Melaka yang diperkuatkan oleh Emmanuel Oti, Ifedayo (Olesegun) dan Sony Norde.
"Perlawanan ini dianggap sebagai sukar, kami mahu teruskan rentak tiga perlawanan terakhir dan pastikan kembali nama besar Sri Pahang selepas menurun dalam beberapa tahun ini.
"Harap-harap dapat kembali semula.
"Muslim (Ahmad), Nicholas Swirad dan Baqiyuddin (Shamsudin) tidak berlatih semalam dan pagi tadi (situasi) Muslim dan Baqiuddin nampak meningkat banyak untuk boleh kembali berlatih (petang tadi).
"Cuma Swirad belum lagi (pulih) sebab semalam dia masih mengadu kesakitan ketika berlari," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

Jurulatih @OfficialPahang Dollah Sallehenggan pandang remeh kemampuan @MelakaUnitedFC yang semakin berada dalam radar positif! Nak ketahui lebih lagi apa dikongsikan Dollah bersama @zulhelmizainal1 ?? Jom Nadi Arena 7.30 malam ini di 801HD & AstroGO! pic.twitter.com/FO0BXk869N

— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) August 12, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Walaupun berwaspada dengan kekuatan jentera serangan lawan, beberapa nama sudah bermain dalam fikiran Dollah bagi memastikan pintu gol mereka terus kebal dalam tiga perlawanan lalu sekalipun terpaksa mengetengahkan tonggak muda.
"Setakat ini tiada masalah, ramai pemain muda kami yang bawa dalam pasukan ini dan mereka nampak matang.
"Jadi kami tidak khuatir di situ," katanya.
Kredit imej: OfficialSriPahang
#liga super #Melaka United #Sri Pahang